Followers

Welcome~

Tuesday, April 10, 2012

Ilmu Allah..

Ilmu Allah maha luas, tidak terjangkau batasan akal

Ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala maha luas, tiada batasan, tidak terjangkau dan tidak terbayangkan oleh akal fikiran manusia kerana hanya Dialah sahaja yang mengetahui apa yang sudah dan akan terjadi serta yang mengaturnya.

Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata, manusia, malaikat, dan makhluk mana pun tidak akan dapat menyelami lautan ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala itu.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya, dan janji Allah itu adalah benar.

 “Contoh yang jelas ialah sebagaimana cerita Nabi Musa Alaihissalam di mana baginda telah dihanyutkan oleh ibunya di dalam peti dengan wahyu (ilham) daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan akhirnya Nabi Musa kembali juga ke pangkuan ibunya itu dalam keadaan selamat dan terhormat setelah ditemui oleh isteri Firaun dan dijadikan anak,” kata Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti Kerajaan di Kampung Sungai Besar sempena Sambutan Maulud Nabi 1433H, pagi ini.

 Menurut Yang Berhormat Pehin, jika mengikut akal manusia, logik dan ilmu manusia, membuang anak ke laut adalah bercanggah dengan akal dan ilmu manusia tetapi dalam ilmu Allah, perkara ini adalah sebaliknya, paling sesuai, tepat dan selamat.

 Dalam perkara ini, beliau memetik Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah al-Qasas ayat 13, yang tafsirnya “Maka (dengan jalan itu) Kami telah kembalikan dia semula kepada ibunya, supaya tenanglah hati ibunya dan tidak lagi berdukacita, dan (juga) supaya dia (ibunya ini) mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, akan tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui perkara ini.”

 Dalam ceramahnya hari ini, Yang Berhormat Pehin antara lain menjelaskan bahawa kisah para nabi memang menarik kerana penuh dengan iktibar dan pengajaran, dan sudah tentu ia juga adalah mukjizat.

 Menurut Yang Berhormat Pehin, pada masa Nabi Musa diputerakan, dapat dinamakan sebagai “masa atau tahun penyembelihan” kerana pada masa itu Firaun telah mengeluarkan arahan atau perintah kepada askar-askarnya, kepada polis-polisnya dan perisik-perisiknya supaya sesiapa saja dari kalangan bani Israel yang melahirkan anak laki-laki, maka anak itu hendaklah dibawa kepadanya untuk disembelih oleh tangannya sendiri.

Sebaik sahaja Firaun mengambil sikap untuk menyembelih semua kanak-kanak lelaki yang baru lahir, setengah daripada penasihatnya telah menasihatkan supaya penyembelihan itu dilakukan berselang tahun sahaja, dan kerana itulah Nabi Harun Alaihissalam terlepas daripada arahan penyembelihan ini kerana Baginda dilahirkan dalam tahun yang selamat yang tidak ada penyembelihan.

~ WALLAHUALAM ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...