Siapakah Manusia Terakhir Yang Memasuki Syurga?
 
 Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bertanya orang banyak kepada 
Rasulullah s.a.w: “Apakah kami akan melihat Zat Allah di hari kiamat 
kelak ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Apakah kamu terhalang memandang 
bulan purnama raya?” Jawab mereka itu: “Tidak!”. Berkata pula Rasulullah
 s.a.w: “Adakah kamu sukar melihat matahari ketika tidak awan 
menutupinya?” Jawab mereka itu: “Tidak tuan!” Maka berkata Rasulullah 
s.a.w: “Demikianlah jelasnya kamu akan dapat melihat Allah kelak.”
 
 Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan perkataannya, kata beliau: “Pada 
hari kiamat nanti Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: 
“Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang disembahnya didunia.”
 Mendengar itu maka penyembah matahari mengikut matahari, penyembah 
bulan mengikut bulan, pemuja thoghut mengikut thoghut dan di dalam 
rombongan mu’min (yang belum bergerak) terdapat pula kaum munafiq.
 
 Kemudian Allah Taala datang kepada mereka itu dengan wajah yang tidak 
dikenal, lalu berkata: “Aku Tuhanmu.” Maka jawab mukminin: “Kami 
berlindung kepada Allah dari godaanmu! Kami tidak akan bergerak dari 
sini sebelum datang Tuhan kami yang sejati, dan apabila Ia datang kepada
 kami, dapat kami mengenalNya.”
 
 Setelah itu Allah Taala datang 
kepada mereka dengan rupaNya yang dikenal oleh orang-orang Mukmin itu, 
lalu berkata: “Aku Tuhanmu”. Maka dijawab kaum mukmin: “Benar, Engkaulah
 Tuhan kami, mereka itupun segera mengikutNya.” Berkata pula Rasulullah 
s.a.w “Nun disana di atas api neraka dibentangkan titian, maka umatkulah
 yang pertama menyeberang titian itu. Pada saat itu tak seorang pun 
dibenarkan berbicara kecuali Rasul-Rasul pesuruh Allah; seruan 
Rasul-Rasul ketika itu: Oh Tuhan! selamatkanlah, selamatkanlah!”
 
 Ditengah-tengah api neraka itu terdapat banyak besi-besi melengkung 
seperti lengkung pancing, seperti duri sa’dan.” Kata Rasulullah s.a.w 
kepada sahabat-sahabat yang hadir: “Adakah kamu pernah melihat sa’dan?” 
Jawab mereka: “Ya!” “Seperti duri sa’dan itulah bentuk besi-besi itu, 
hanya saja besarnya tidak terkira, dan itu kelak yang akan mengait 
manusia yang sedang meniti, menurut imbangan dosa masing-masing. Yang 
beriman akan terlepas dari kaitannya dan yang berdosa, terkena , tetapi 
akhirnya dilepaskan.”
 
 Setelah Allah selesai mengadili 
hamba-hambaNya dan berkehendak dan mengeluarkan penghuni neraka dengan 
rahmatNya, dititahkanNya kepada malaikat-malaikat untuk mengeluarkan 
mereka yang diberiNya rahmat, kerana di dunia mereka tidak menyekutukan 
Allah dengan sesuatu apa pun. Malaikat-malaikat yang mendapat perintah 
itu pun dapat mengenal orang-orang yang berkata “tiada tuhan yang 
disembah kecuali Allah” dengan adanya bekas sujud sembahyang yang memang
 tidak dimakan api neraka.
 
 Kemudian segeralah Malaikat-malaikat
 itu mengeluarkan mereka dalam keadaan hangus rentung, kemudian 
dituangkan ketubuh masing-masing air hidup, maka tumbuhlah masing-masing
 kerana air itu seperti tumbuhnya jenis biji setelah banjir surut.
 
 Setelah hal itu selesai seluruhnya, rupanya disana masih tinggal 
seorang lelaki yang menghadap mukanya ke neraka dialah yang terakhir 
sekali masuk ke dalam syurga. Kepada Allah ia bermohon dengan 
bersungguh-sungguh agar mukanya dapat dipalingkan dari api neraka itu, 
dengan alasan bau dan nyalaannya telah menghancur luluhkan dirinya. 
Demikianlah permohonan itu berkali-kali diulangnya.
 
 Kemudian 
Allah berkata kepadanya: “Kalau Aku kabulkan permintaan ini apakah tak 
ada permohonan yang lain lagi?” Jawab orang itu: “Tidak!” dan ia 
berjanji keras kepada Allah bahawa ia tidak akan meminta sesuatu apapun 
lagi. Permohonan orang itu pun dikabulkan Allah Taala. Setelah terlihat 
olehnya kemewahan syurga, terdiamlah ia beberapa lama.
 
 Kemudian
 ia bermohon lagi kepada Allah agar dapat disampaikan ke pintu syurga 
itu, Berkata Allah kepadanya: “Bukankah engkau telah berjanji keras tak 
akan meminta apa-apa lagi? Celaka anak Adam ini! Alangkah pemungkirnya!”
 Maka orang itupun bermohon kedua kalinya kepada Allah serta berjanji 
pula tak akan menambah permohonannya lagi.
 
 Setelah permohonan 
orang itu dikabulkan Allah dan terlihatnya kemewahan syurga, terdiamlah 
ia beberapa lama. Kemudian ia bermohon kepada Allah magar dapat 
disampaikan ke pintu syurga. Setelah ia tiba di sana terbukalah pintu 
syurga itu selebar-lebarnya, dan dilihatnya segala kenikmatan dan 
kegembiraan, kemewahan yang ada di dalamnya. Dia tercengang takjub dan 
tak dapat berkata-kata. Kemudian ia bermohon pula ketiga kalinya agar 
dapat dimasukkan ke dalamnya, seraya berjanji seperti janji yang lampau.
 “Alangkah pemungkirnya kamu hai anak Adam!” kata Allah Taala kepadanya.
 Jawabnya: “Oh Tuhan! jangan kiranya hamba ini menjadi orang-orang yang 
celaka.” Demikianlah permohonan itu diulang-ulang, akhirnya tertawalah 
Allah Taala seraya bertitah: “Masuklah engkau ke dalam syurga ini!”
 
 Maka apabila masuk ke dalamnya , bertitahlah Allah: “Sekarang dapatlah 
engkau mencita-citakan apa saja keinginanmu!” Orang itupun segera 
bermohon berbagai-bagai permintaan dan mencita-cita bermacam-macam 
kenikmatan sehingga Allah Taala memperingatkannya kepada soal-soal yang 
tertentu dari kenikmatan yang tak diketahuinya. Akhirnya apabila orang 
itu telah merasa puas, berkatalah Allah Taala kepadanya: “Nikmatilah 
kemewahan yang telah ada ini, bahkan akan ditambah lagi dengan berbagai 
nikmat sebanyak itu pula. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
 
 Dalam hadith lain diceritakan:
 
 Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sesungguhnya aku benar-benar tahu ahli Neraka yang terakhir keluar dari 
sana dan ahli Syurga yang terakhir masuk ke Syurga iaitu seseorang yang 
keluar dari Neraka secara merangkak lalu Allah Taala berfirman 
kepadanya: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi 
Syurga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah pun 
dipenuhi. Oleh itu dia kembali dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah 
temui Syurga itu namun ianya telah penuh. Allah Taala berfirman: 
Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi Syurga, 
tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah dipenuhi lalu 
kembali semula dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Syurga itu 
tetapi ianya telah penuh. Allah berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam 
Syurga kerana sesungguhnya ianya untukmu seumpama dunia dan sepuluh kali
 gandanya atau sesungguhnya ianya bagimu sepuluh kali ganda dunia. 
Lelaki itu berkata: Adakah Engkau mengejekku atau mempermain-mainkan 
aku, kerana Engkau adalah Maharaja? Maka Abdullah bin Mas’ud berkata: 
Aku benar-benar melihat Rasulullah s.a.w tertawa sehingga ternampak gigi
 geraham baginda dan dikatakan: Itulah Ahli Syurga yang paling rendah 
kedudukannya. (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)
 

 

No comments:
Post a Comment